Mengapa Penulis dengan Penerbit tidak sebulu
Penulis dan penerbit selalunya tidak sefahaman. Malah penulis bestseller pun kadangkala bergaduh dengan penerbit.
Penulis ialah insan kreatif. Seluruh jiwa dan raganya didedikasikan untuk menghasilkan karya yang meninggalkan kesan.
Karya yang mampu menyentuh emosi pembaca.
Karya yang boleh membuatkan pembaca berfikir sejenak, merenung sedalam-dalamnya.
Karya yang berupaya mendorong pembaca untuk bertindak, kerana akhirnya nampak cahaya penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Inilah fitrah semula jadi seorang penulis.
Editor perolehan dan penerbit pula berada dalam dunia perniagaan. Nadi mereka berdenyut untuk kelangsungan jualan.
- Untuk bertahan dalam pasaran yang penuh saingan.
- Untuk membayar gaji editor, pasukan gudang, dan pihak percetakan.
- Untuk memastikan ada modal pusingan bagi mencetak buku laris untuk jualan bulan seterusnya.
Inilah pula fitrah seorang penerbit.
Perspektif Kita Tidak Selalunya Sama
Penulis mencipta karya bermutu, penerbit pula menjual karya bermutu.
Namun, sering kali kita terdengar keluhan di kedai kopi dalam kalangan penulis. Mereka meluahkan rasa tidak puas hati, mendakwa penerbit bersikap berat sebelah. Hanya buku yang berpotensi laris sahaja yang diulang cetak demi keuntungan, manakala karya bermutu yang sepatutnya menjadi santapan minda masyarakat pula diketepikan.
Dalam masa yang sama, kita juga terdengar keluhan daripada para penerbit. Mereka bercerita tentang penulis yang seolah-olah memaksa mereka mencetak dan menjual karya yang dilabel ‘bermutu’. Apabila diletakkan di rak kedai, buku itu tidak laku. Selepas enam bulan, jualannya tidak mampu menampung kos kertas pun. Akibatnya, buku itu tidak diulang cetak, lalu penulisnya meluahkan kemarahan di Facebook.
Penulis yang tidak berpuas hati akan berkata, “Buatlah pemasaran! Hantar pasukan jualan yang lebih handal, yang boleh terangkan kualiti buku ini kepada pembaca!”
Nampaknya, kita ada masalah komunikasi. Kita ada salah faham.
Kita silap faham tentang definisi sebenar ‘karya bermutu’.
Kita juga tidak sependapat tentang ‘apa yang pembaca mahu’ lawan ‘apa yang pembaca perlu’.
Kita bertelagah tentang “Mana lebih mustahak? Buku berkualiti atau jualan yang menguntungkan?”
Hakikatnya, kita semua tahu kedua-duanya sama penting!
Apa yang mungkin kita terlepas pandang ialah “buku bermutu untuk pembaca sekolah tidak sama dengan buku bermutu untuk pembaca indie”. Ia juga berbeza daripada buku bermutu untuk golongan eksekutif, apatah lagi untuk khalayak sastera.
Ya, setiap buku ada sasaran pembacanya yang tersendiri. Ibarat setiap keris, ada sarungnya yang khas.
Jika salah sarungnya, keris itu tidak akan muat, malah mungkin akan merosakkan alurnya.
Jika salah pembacanya, buku itu tidak akan terjual, dan ‘mutu’ yang diperjuangkan itu pun akan hilang nilainya.
Maka, membandingkan antara buku bermutu dengan keuntungan jualan ini umpama membezakan antara hujan di gunung dengan air di lautan. Keduanya nampak berbeza, tetapi saling berkaitan. Apabila sesebuah buku yang bermutu sampai kepada pasaran pembaca yang tepat, keuntungan pasti akan menyusul.
Pada akhirnya, penulis dan penerbit, kedua-duanya akan tersenyum gembira.
Dapatkan ebook ‘97 Templat Tajuk Memikat’ di sini —>> http://yezza.net/umum/custom/97-templat-tajuk-memikat-946