· 2 MINIT BACAAN · Dikemaskini

Terbit Buku Sendiri: Mindset Bisnes yang Perlu Penulis Faham

Apabila penulis pilih self-publish, mereka bukan hanya penulis tetapi juga peniaga buku. Kenapa terbit sendiri perlu mindset bisnes, bukan hanya seni.

Terbit Buku Sendiri: Mindset Bisnes yang Perlu Penulis Faham
// DAFTAR ISI (3)
  1. Kenapa Terbit Buku Sendiri
  2. Risiko Modal
  3. Berfikir Seperti Penerbit

Apabila kita menulis dengan hasrat untuk menerbitkan sebuah buku untuk jualan, kita perlu sedar bahawa ia bukan lagi sekadar karya peribadi, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada satu transaksi perniagaan.

Buku yang kita hasilkan bukan lagi sekadar sebuah karya seni, tetapi juga satu produk yang diniagakan antara penulis, penerbit, dan pembaca.

Kenapa Terbit Buku Sendiri

Dalam proses ini, penulis menjadi penghubung antara nilai seni karya dan kepentingan komersial penerbit. Di sinilah sering kali timbulnya konflik: penulis mahu mengekalkan keaslian ekspresi seninya, manakala penerbit perlu memastikan buku itu boleh dijual dan menguntungkan.

Mustahil untuk kita menghalang penerbit daripada campur tangan dalam proses penghasilan buku. Ini kerana pihak penerbit menanggung risiko perniagaan yang jauh lebih besar berbanding penulis.

Risiko Modal

Penerbit menanggung risiko kewangan yang besar. Mereka mengeluarkan modal bukan sahaja untuk kos percetakan, tetapi juga menampung kos kepakaran pasukan editorial, pereka grafik, dan pemasaran yang berpengalaman dalam menerbitkan buku untuk sasaran pembaca mereka.

Berbeza dengan penulis, modal utama kita adalah masa, tenaga, dan buah fikiran. Kita melaburkan usaha untuk mengkaji, menapis, dan menggarap pelbagai idea sehingga menjadi sebuah karya yang padu dalam bentuk manuskrip.

Memahami perbezaan peranan ini adalah kunci untuk mengelakkan konflik. Hasil karya asli seorang penulis sebenarnya bukanlah buku yang siap dicetak, tetapi manuskrip yang diserahkan kepada penerbit.

Buku yang terhasil daripada manuskrip itu pula adalah produk terbitan penerbit. Secara umumnya, beginilah pembahagian tugasnya, walaupun ada kes-kes terpencil di mana penulis terlibat secara langsung dalam proses penerbitan.

Penting untuk kita faham perbezaan yang jelas ini: Penulis menghasilkan manuskrip, manakala penerbit menghasilkan buku.

Manuskrip penulis ialah hasil karya seni. Kemahiran yang diperlukan ialah kemahiran berkarya.

Buku terbitan penerbit pula ialah produk dagangan. Kemahiran yang diperlukan ialah gabungan antara kemahiran perniagaan dan seni penerbitan.

Berfikir Seperti Penerbit

Apabila seorang penulis memilih untuk menerbitkan karya sendiri (atau self-publishing), kita sebenarnya mengambil alih peranan penerbit. Ketika inilah kita perlu sedar bahawa kita bukan lagi sekadar berkarya, tetapi juga perlu berfikir seperti seorang usahawan untuk memastikan buku kita terjual.

Penulis swaterbit bukan sekadar menyunting dan mencetak. Kita juga bertanggungjawab sepenuhnya untuk merancang strategi pemasaran dan jualan.

Buku yang telah dicetak tetapi gagal sampai ke tangan pembaca bukan sahaja satu kerugian wang ringgit, tetapi juga satu pembaziran usaha yang sia-sia.

Penulis ialah golongan yang bijaksana. Maka, bertindaklah dengan bijak dalam setiap langkah penerbitan.