3 Rahsia Terbit Buku Laku Keras: Kenal Pembaca, Lokasi, dan Saiz Pasaran
Buku yang laku keras bukan kebetulan. Tiga rahsia: tahu siapa pembaca, di mana mereka berkumpul, dan berapa besar jumlah pasaran sebenar.
Secara tradisinya, tugas seorang penulis hanyalah menulis. Selok-belok penerbitan—daripada proses suntingan sehinggalah ke percetakan—biasanya diuruskan sepenuhnya oleh pihak penerbit.
Namun, jika penulis mula cenderung untuk terlibat dalam kerja-kerja penerbitan, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan penerbitan sendiri, atau lebih dikenali sebagai swaterbit (self-publishing). Apabila memilih jalan ini, penulis secara automatik memikul tanggungjawab seorang penerbit. Tanggungjawab utamanya? Menerbitkan buku yang laris di pasaran.
Penerbit perlu sentiasa menghasilkan buku-buku yang meletup dan terlaris untuk kekal relevan dalam industri. Ini penting bagi menampung segala kos operasi seperti pinjaman bank, sewa premis, gaji editor, dan bayaran kepada pihak pencetak.
Bagi penulis swaterbit, beban untuk menghasilkan buku yang laris ini ditambah pula dengan tugas hakiki untuk menyiapkan dan menyunting manuskrip sehingga benar-benar sempurna.
Walau bagaimanapun, beban ini boleh diringankan jika penulis mengetahui tiga rahsia utama dalam menerbitkan buku yang berpotensi tinggi untuk berjaya. Tiga rahsia tersebut ialah:
1) Kenali Siapa Pembaca Anda
Ya, penulis dan penerbit wajib kenal siapa pembaca sasaran mereka. Ini adalah langkah paling asas dan paling penting. Contohnya, jika kita menulis novel, kita perlu jelas siapa pembaca idealnya. Adakah ia ditujukan untuk remaja, suri rumah, atau golongan profesional?
Begitu juga dengan buku bukan fiksyen. Siapakah pembaca utamanya? Staf pejabatkah? Petugas kaunter? Atau mungkin golongan wanita bekerjaya di sektor awam?
Lebih terperinci sasaran kita, lebih bagus. Ini bukan sahaja membantu melancarkan proses penulisan, tetapi juga memudahkan kita untuk memasarkan buku itu ke saluran jualan yang tepat.
Satu perkara penting yang perlu diingat:
Buku tidak semestinya dijual di kedai buku.
2) Ketahui Di Mana Pembaca Berkumpul
Rahsia kedua ialah mengetahui di mana pembaca ideal kita berkumpul. Ini amat penting. Selepas kita mengenal pasti siapa mereka, kita boleh mula mengagak di mana mereka sering meluangkan masa.
Tetapi, jangan sekadar beragak. Kita perlu pasti di mana mereka berada.
Caranya tidaklah sukar. Pertama, cuba kenal pasti individu di sekeliling kita yang menepati profil pembaca ideal. Jika tiada, kita boleh cari mereka di media sosial seperti Facebook. Perhatikan corak aktiviti, minat, dan komuniti yang mereka sertai.
Pasti akan ada aktiviti yang menunjukkan di mana mereka berkumpul sesama mereka.
Sebagai contoh, jika sasaran kita ialah remaja, mereka sudah tentu berkumpul di sekolah setiap hari.
Jika pembaca kita ialah suri rumah yang gemar memasak, lokasi tumpuan mereka pastilah pasar tani, pasar raya, atau kedai barangan dapur.
Atau jika sasaran kita ialah penunggang p-hailing atau penghantar barang, mereka sering dilihat berkumpul di hentian rehat atau stesen minyak.
Lokasi-lokasi inilah ‘lubuk emas’ untuk kita sasar bagi memasarkan dan menjual buku kita.
3) Anggarkan Saiz Pasaran Pembaca
Rahsia ketiga, dan yang paling kritikal, adalah menganggarkan saiz pasaran atau jumlah bakal pembaca kita.
Ini adalah fasa yang berisiko. Silap percaturan, buku mungkin tidak laku dan berakhir dijual secara timbang kati di pusat kitar semula.
Hakikatnya, tiada alat yang boleh memberikan angka yang 100% tepat.
Namun, salah satu pendekatan yang boleh diguna pakai ialah unjuran data (data projection). Walaupun ini adalah satu bidang yang luas dan kompleks, kita boleh mulakan dengan asas-asasnya. Ia melibatkan sedikit kemahiran bereksperimen (membina hipotesis dan mengujinya) serta analisis statistik yang ringkas.
Contohnya, kita mahu menyasarkan pelajar sekolah. Kita boleh mengira jumlah ‘kepala’ pelajar sekolah dengan cara:
Jumlah Pasaran = (Jumlah Sekolah) x (Purata Pelajar Setiap Sekolah) x (Kadar Penukaran)
Jadi, jika kita tahu jumlah sekolah yang boleh diakses dan purata pelajar bagi setiap sekolah, kita sudah boleh menganggarkan saiz pasaran kasar.
Faktor penentu di sini ialah ‘Kadar Penukaran’ (Conversion Rate). Kadar penukaran bermaksud peratusan prospek yang dijangka akan membuat pembelian. Semakin tertumpu saluran jualan kita kepada sasaran yang tepat, semakin tinggilah kadar penukarannya.
Kita akan bincangkan teknik unjuran data ini dengan lebih lanjut dalam artikel akan datang.