Risiko Besar Menjadi Penerbit Buku Bercetak
Adalah lumrah apabila orang cenderung berkongsi tentang cerita-cerita kejayaan, tetapi merahsiakan kegagalan.
Kebelakangan ini, ramai penulis yang telah berjaya menjual e-buku mula mengintai peluang untuk menceburi bidang penerbitan buku fizikal.
Fenomena ini tidak menghairankan. Selepas merasai sendiri pulangan hasil jualan e-buku, timbul pula keinginan untuk mengembangkan sayap sebagai penerbit untuk karya penulis lain. Logiknya mudah: jika buku sendiri boleh mendatangkan untung, apatah lagi jika menerbitkan banyak buku, pasti keuntungannya berlipat ganda.
Malah, ada juga yang baru beberapa bulan melihat buku mereka di rak kedai seperti MPH atau Popular, sudah mula memasang angan-angan untuk menjadi penerbit.
Semangat ini seringkali disemarakkan lagi oleh kisah-kisah kejayaan penerbit lain.
Memang sudah menjadi lumrah manusia untuk lebih gemar berkongsi cerita manis dan menyembunyikan episod kegagalan.
Dunia penerbitan juga tidak terkecuali. Para penerbit akan gah bercerita tentang judul-judul yang laris dan diulang cetak berkali-kali, tetapi jarang sekali kita dengar tentang buku-buku yang sekadar menghuni stor tanpa terjual.
Hakikatnya, perniagaan penerbitan buku memerlukan modal yang besar. Kejayaan menjual karya sendiri tidak seharusnya dijadikan jaminan mutlak bahawa kita akan berjaya menjual karya orang lain.
Justeru, bagi rakan-rakan yang berhasrat untuk menceburi bidang ini dengan menerbitkan karya orang lain, ada baiknya kita bermula secara kecil-kecilan. Cuba terbitkan e-buku terlebih dahulu.
Kosnya jauh lebih rendah berbanding buku bercetak, dan risikonya juga lebih minimum.