Satu Perkara Tentang eBook Yang Paling Tidak Dipedulikan Pembeli
Ada satu perkara yang sentiasa menjadi sentimen oleh penulis dan penerbit dalam menidakkan penggunaan ebook sebagai salah satu saluran jualan mereka. Perkara…
Ada satu kebimbangan yang sering menghantui para penulis dan penerbit, menyebabkan mereka teragak-agak untuk menjual karya dalam format e-buku.
Isu inilah yang sering dilaung-laungkan sebagai alasan utama sama ada mahu menggunakan sesebuah platform jualan e-buku ataupun tidak.
Ironinya, perkara ini langsung tidak dipedulikan oleh pembeli dan pembaca.
Perkara yang dimaksudkan ialah: DRM.
Apa Sebenarnya DRM Ini?
Nasihat kami: jika anda tidak pernah tahu tentang DRM, lebih baik lupakan sahaja kewujudannya. DRM, atau Digital Rights Management, merujuk kepada teknologi yang digunakan untuk mengawal cara kandungan digital digunakan dan diedarkan.
Bagi para penerbit dan penulis yang sudah sedia maklum tentang DRM, inilah sebenarnya isu yang langsung tidak diambil pusing oleh pembaca. Matlamat DRM adalah untuk melindungi e-buku daripada disalin dan dikongsi tanpa kebenaran, atau dalam erti kata lain, cetak rompak.
Namun, pembaca hanya mahukan satu perkara: “Saya mahu BACA SEKARANG.”
Mereka tidak peduli betapa kebalnya sistem keselamatan sesebuah e-buku itu. Malah, mereka akan lebih kecewa apabila sistem DRM itu sendiri MENYUKARKAN mereka untuk membaca e-buku yang sudah dibeli dengan wang mereka sendiri.
Kebimbangan Penulis & Penerbit
Antara kebimbangan terbesar penulis dan penerbit ialah, “Bagaimana jika ada pembeli yang menyalin dan mengedarkan e-buku ini secara haram melalui e-mel, Facebook, dan saluran lain? Itu kan jenayah!”
Benar, ia satu jenayah. Justeru, urusan membanteras jenayah sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa, bukan menjadi beban penerbit atau penulis.
“Tetapi, siapa yang akan membayar ganti rugi akibat kegiatan cetak rompak ini?”
Sejujurnya, tiada jawapan yang benar-benar membina untuk soalan ini, melainkan jawapan yang sinis dan sarkastik. Jadi, lebih baik kita lupakan soal itu dan tanya soalan yang lebih penting:
“Sejauh mana keyakinan kita yang e-buku ini akan dicetak rompak?”
Ini kerana, hanya e-buku bertaraf #goldclass sahaja yang akan menjadi mangsa cetak rompak. E-buku yang ala kadar atau #noclass, pembeli pun mungkin akan menyesal.
Maksudnya di sini: apabila e-buku kita dicetak rompak, kita patut berasa sedikit bangga. Ini tandanya karya kita telah mencapai tahap #goldclass!
Selepas berbangga seketika, barulah wajar untuk kita menyuarakan isu ini di media sosial atau kepada penerbit tentang hakikat e-buku kita TELAH dicetak rompak.
Selagi karya kita belum ‘diancam’ cetak rompak, lebih baik kita fokus untuk menghasilkan e-buku yang cukup hebat sehingga orang mahu mencetak rompaknya.