KENYATAAN MEDIA BERSAMA ITBM, DBP dan PKB
Susulan insiden rampasan buku “Manifesto Komunis” terbitan Thukul Cetak di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (PBAI), Sabtu lalu, Institut Terjemahan & Buku…
ITBM, DBP dan PKB Nafi Tuduhan Sengaja Malukan Negara
-
Susulan insiden rampasan buku “Manifesto Komunis” terbitan Thukul Cetak di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (PBAI) pada Sabtu lalu, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Perbadanan Kota Buku (PKB) selaku agensi penyelaras delegasi Malaysia, hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bahawa insiden tersebut disengajakan untuk memalukan negara.
-
Penafian ini merujuk kepada tuduhan berniat jahat yang sedang tular di pelbagai media, yang mengaitkan kami—tiga agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)—dengan serangan bermotifkan politik. Tuduhan tersebut mendakwa kononnya kami berpakat dengan pembangkang dan sengaja membawa penerbit buku indie bagi tujuan menyebarkan fahaman komunis serta sosialis di Indonesia.
-
Apa yang sebenarnya berlaku hanyalah salah faham yang berpunca daripada ilustrasi logo komunis pada kulit buku tersebut. Ini telah menarik perhatian pihak berkuasa Indonesia yang kemudiannya hadir ke Pavilion Malaysia untuk merampas enam naskhah buku itu pada hari keempat pesta buku berlangsung.
-
Berikutan rampasan itu, empat peserta delegasi telah diminta hadir ke balai polis dan pejabat imigresen untuk disoal siasat. Mereka termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Thukul Cetak, Zulfikri Zamir Mohamad Munir, selaku penerbit buku, dan Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah, selaku Ketua Penyelaras Pavilion Malaysia. Kesemua mereka kemudiannya dilepaskan tanpa sebarang tahanan selepas kandungan buku tersebut disahkan bebas daripada sebarang elemen yang mendorong kepada doktrin komunisme.
-
Walau bagaimanapun, sebagai ketua agensi delegasi Malaysia, Sakri Abdullah yang mewakili ITBM, DBP, dan PKB telah mengambil tanggungjawab penuh untuk menyelesaikan urusan ini dengan pihak berkuasa Indonesia. Ini termasuklah menyerahkan pasport sebagai jaminan sehinggalah semua perkara berkaitan selesai sepenuhnya dan beliau dibenarkan pulang ke tanah air semalam (Isnin, 3 Oktober 2016) dengan penerbangan pada jam 8.30 malam waktu Indonesia.
-
Sehubungan itu, ITBM, DBP, dan PKB ingin menjelaskan bahawa peranan kami dalam isu ini adalah sebagai pemudah cara, selari dengan fungsi kami sebagai penyelaras yang membawa delegasi 21 penerbit—delegasi terbesar Malaysia ke sebuah pesta buku antarabangsa. Tanggungjawab kami bukan sahaja untuk mempromosikan peluang perniagaan dalam industri perbukuan, tetapi juga untuk membantu menyelesaikan sebarang kesulitan yang dihadapi oleh para peserta.
-
Mengenai ilustrasi pada kulit buku “Manifesto Komunis”, kami menerima penyertaan buku tersebut untuk pameran di Pavilion Malaysia kerana tiada sebarang halangan terhadap penjualannya di Malaysia. Tambahan pula, pihak berkuasa Indonesia sendiri mengesahkan bahawa kandungannya tidak melanggar undang-undang negara mereka. Isu yang timbul hanyalah berkaitan ilustrasi logo pada kulit buku yang asalnya dihasilkan untuk tujuan pemasaran bagi menarik perhatian pembeli, tanpa kami sedari bahawa logo tersebut amat sensitif di Indonesia.
-
Pada masa yang sama, pihak Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) selaku penganjur PBAI juga tidak pernah memaklumkan kepada kami sebagai agensi delegasi Malaysia mengenai sebarang perkara sensitif yang perlu diberikan perhatian oleh setiap wakil peserta. Namun, kami memandang serius akan perkara ini. Sebagai tindakan serta-merta, satu kajian untuk menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dimulakan sebagai persediaan bagi penyertaan di pesta-pesta buku antarabangsa pada masa hadapan. Ini termasuklah mendapatkan senarai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut undang-undang negara tuan rumah untuk diedarkan kepada semua wakil peserta sebagai panduan.
-
Justeru, kami sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya sebarang cubaan jahat oleh pihak tertentu untuk mengaitkan kami dengan usaha-usaha bermotifkan politik, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tanggungjawab kami adalah kepada negara, dan hanya kepada negara.