Berapa sebenarnya untung penerbit buku?
Betulkah terbit sendiri lebih untung berbanding terbit dengan penerbit buku?
“Untunglah jadi penerbit buku, lagi kaya daripada penulis!”
“Baik terbit buku sendiri, untung dapat 100%!”
Benarkah anggapan ini? Realitinya, jika royalti penulis adalah sekitar 10%, keuntungan bersih penerbit buku juga lebih kurang 10% sahaja.
Itu pun dengan syarat semua naskhah yang dicetak habis terjual.
Satu pusingan cetakan biasanya sekitar 2,000 naskhah.
Kenapa begitu?
Untuk memahaminya, mari kita lihat pecahan harga bagi sebuah buku. Katalah harga jualan sebuah buku itu RM20.
Secara kasarnya, pecahannya adalah seperti berikut:
- 20% adalah kos percetakan.
- 55% adalah diskaun kepada pengedar dan kedai buku.
- 10% adalah royalti untuk penulis.
Berapa yang tinggal untuk penerbit? Hanya baki 15%.
Daripada baki 15% inilah, penerbit perlu menolak kos-kos operasi seperti:
- Editorial (penyuntingan)
- Reka bentuk kulit buku
- Reka letak halaman
Ini belum termasuk kos lain seperti sewa gudang untuk menyimpan stok buku.
Malah, diskaun yang diberikan kepada rangkaian kedai buku besar kadangkala boleh mencecah sehingga 60%.
Jadi, betulkah terbit sendiri lebih untung berbanding menggunakan khidmat penerbit sedia ada?
Jawapannya adalah ya, tetapi dengan syarat kita yakin boleh menjual lebih daripada 2,000 naskhah dalam tempoh setahun.
Jika tidak pasti, lebih baik kita bermula secara kecil-kecilan dahulu dengan mencetak sekitar 100–300 naskhah.
Apabila semua naskhah itu habis terjual, barulah kita tingkatkan jumlah cetakan seterusnya secara berperingkat.