· 2 MINIT BACAAN · Dikemaskini

Bagaimana Validate Idea Buku

Apabila kita ingin menerbitkan sendiri buku informasi, kita tidak bermain dengan idea yang selamat. Kita bermain dengan idea baru yang segar.

Bagaimana Validate Idea Buku

“Waaah!”

“Eh, rupanya boleh buat macam ni!”

“Tak terfikir pula saya.”

Inilah antara reaksi terbaik untuk menguji sama ada idea kita berpotensi untuk dijual atau tidak. Sebelum mula menulis, apa kata kita cuba ceritakan dulu idea tersebut kepada rakan-rakan.

Apabila kita mahu menerbitkan sendiri buku informatif, kita tidak sepatutnya bermain dengan idea yang terlalu biasa atau ‘selamat’. Sebaliknya, kita perlu tampil dengan idea yang segar dan baru.

Buku dengan idea yang asas atau umum ini biasanya sudah banyak diterbitkan oleh penerbit-penerbit besar.

Jika bakal pembeli sudah boleh mengagak keseluruhan isi kandungan hanya dengan membaca tajuk pada kulit buku, kita mungkin sudah terlepas separuh daripada sasaran pembaca.

Secara amnya, terdapat dua golongan utama pembeli buku informatif:

Golongan pertama ialah mereka yang bukan dari bidang tersebut. Golongan ini mencari maklumat di luar kepakaran mereka untuk menambah pengetahuan am atau sekadar ingin mencuba sesuatu yang baru.

Golongan kedua pula ialah mereka yang sememangnya berada dalam bidang itu. Mereka ini sentiasa mencari idea-idea baharu yang segar dan praktikal. Lazimnya, mereka inilah yang menjadi pakar rujuk kepada golongan pertama.

Jadi, jika kita hanya menyajikan idea yang ‘selamat’, buku kita mungkin hanya akan menarik minat golongan pembaca pertama.

Tetapi, jika kita tampil dengan idea yang segar, kita berpeluang besar untuk menarik perhatian golongan kedua. Malah, golongan inilah yang berpotensi menjadi ‘duta’ yang akan mempromosikan buku kita kepada golongan pertama.

Sebagai contoh:

Idea Selamat - Pengurusan Disiplin di Sekolah.

Idea Segar - Pengurusan Disiplin Menggunakan Teknik Rasulullah SAW.

Apabila kita mengetengahkan idea yang segar, buku kita secara tidak langsung mencipta kategorinya yang tersendiri dan tidak perlu bersaing secara terus dengan buku-buku lain. Ia akan mula menarik audiensnya yang spesifik.

Apakah risikonya?

Sudah tentu, bukan semua idea baru akan terus diterima. Ia memerlukan strategi pemasaran yang konsisten agar mesejnya sampai dan melekat di minda golongan pembaca kedua.

Apa yang penting, pastikan idea baharu itu mampu mencetuskan reaksi seperti yang digambarkan di awal penulisan ini.