Gorila Dalam Pasaran Buku
Ramai orang tulis dulu bukunya dan kemudian baru berfikir kepada siapa dia boleh menjual buku tersebut.
“Macam mana saya nak jual buku ini?”
Ramai penulis siapkan manuskrip dahulu, kemudian barulah terfikir-fikir, “Siapa agaknya yang akan beli buku aku ni?”
Atau lebih parah lagi, mereka tidak bertanya siapa pembelinya, sebaliknya terus bertanya, “Pengedar mana yang boleh tolong jualkan buku saya?”
Hakikatnya, pengedar buku tidak berminat untuk menjual buku yang penerbitnya sendiri pun tidak tahu cara untuk memasarkannya.
TETAPI, jika buku sudah siap ditulis dan perlu juga dijual, maka hanya ada satu cara yang berkesan:
CARI ‘GORILA’ ITU SAMPAI JUMPA!
Pada tahun 1999, dua orang penyelidik bernama Daniel Simons dan Christopher Chabris telah menjalankan satu eksperimen psikologi yang terkenal, kini dikenali sebagai ‘The Invisible Gorilla Test’.
http://www.youtube.com/watch?v=vJG698U2Mvo
Dalam eksperimen tersebut, peserta diminta menonton sebuah video pendek yang menunjukkan dua pasukan sedang membaling bola keranjang. Tugasan mereka mudah: kira berapa kali balingan yang dibuat oleh pasukan berbaju putih.
Di pertengahan video, seorang pelakon yang memakai kostum gorila berjalan melintasi pemain, berhenti sejenak sambil menepuk dada, dan kemudian berlalu pergi.
Apabila ditanya tentang jumlah balingan, hampir semua peserta dapat menjawab dengan betul.
Tetapi apabila ditanya sama ada mereka nampak kelibat gorila dalam video itu, kira-kira separuh daripada peserta langsung tidak perasan!
Fenomena ini, yang dipanggil ‘inattentional blindness’ atau ‘buta kerana tidak prihatin’, berlaku apabila kita terlalu fokus pada sesuatu tugasan sehingga terlepas pandang perkara lain yang jelas di depan mata.
Hal yang sama sering berlaku dalam dunia perniagaan.
UNIVAC merupakan antara perintis dalam pasaran komputer komersial pada era 1950-an. Namun, mereka pada mulanya percaya bahawa pasaran utama untuk komputer adalah bagi kegunaan saintis dan agensi kerajaan seperti Biro Banci AS.
Maka, mereka pun membina komputer yang canggih untuk pasaran tersebut. Akibatnya, mereka terlepas pandang ‘Gorila’ sebenar yang ada dalam pasaran ketika itu.
‘Gorila’ dalam pasaran komputer pada waktu itu ialah sektor perniagaan dan korporat. Komputer yang direka untuk saintis tidak begitu sesuai untuk dijual kepada golongan ahli perniagaan.
Kerana itulah kita hari ini lebih mengenali IBM, yang berjaya menguasai pasaran perniagaan, tetapi mungkin tidak pernah mendengar nama UNIVAC.
Lain Kategori, Lain ‘Gorila’nya
Langkah mencari ‘Gorila’ ini sememangnya satu proses yang mencabar.
‘Gorila’ untuk pasaran buku remaja pastinya berbeza dengan ‘Gorila’ untuk pasaran buku kanak-kanak.
Sebagai contoh, jika seorang pensyarah sudah menyiapkan penulisan tesisnya dan mahu menerbitkannya sebagai buku, maka tumpuannya tidak sepatutnya berada di kedai-kedai buku umum.
‘Gorila’ untuk buku-buku akademik biasanya tiada di sana.
Nampak sukar, bukan?
Tetapi, siapa suruh tulis dahulu sebelum membuat sebarang tinjauan pasaran!
.
Jika ‘Gorila’ itu masih tidak ditemui, maka langkah seterusnya adalah kita perlu merombak dan mengubah suai manuskrip tersebut agar selari dengan kehendak dan minat pembaca yang kita temui sepanjang proses pencarian ‘Gorila’ tadi.