Syaitan Yang Menyebabkan Kita Tidak Menulis
Mengapa sampai sekarang kita tidak menulis buku lagi? Atau lebih senang, mengapa kita masih belum hantar proposal buku lagi kepada editor?
Di sebalik istilah ‘writer’s block’, sering kali ada satu ‘musuh’ halus yang bersembunyi dalam diri kita. Musuh inilah yang membuatkan idea tersekat dan proses penulisan terhenti.
Musuh itu ialah RASA TAKUT!
“Siapa pula yang takut menulis?” mungkin ada rakan yang bertanya.
Ramai antara kita mungkin tidak sedar, atau lebih teruk lagi, tidak mahu mengaku, bahawa kita sebenarnya takut untuk menulis.
Pelajar sekolah yang perlu menyiapkan karangan untuk cikgu pun boleh rasa takut. Dia bimbang tulisannya dikritik atau menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas.
Calon PhD yang bijak pandai pun berdepan ketakutan yang sama. Bimbang tesis yang diusahakan berbulan-bulan ditolak mentah-mentah oleh penyelia.
Malah, seorang profesor juga boleh teragak-agak untuk menulis buku. Risau karyanya dianggap tidak cukup bernilai dari segi keilmuan oleh rakan-rakan sejawat.
Mari kita renung sejenak dan bertanya pada diri sendiri.
Mengapa sehingga kini kita masih belum mula menulis buku? Atau soalan yang lebih mudah: mengapa proposal buku pun masih belum dihantar kepada penerbit?
Padahal, proposal itu selalunya cuma memerlukan kita melengkapkan beberapa halaman sahaja. Tapi, ia masih tersimpan kemas dalam draf.
Ada tiga ketakutan utama yang sering menghantui penulis.
Takut Gagal
Ketakutan ini berpunca daripada tabiat kita yang sering mengaitkan hasil kerja dengan harga diri. Apabila tulisan kita dikritik, kita rasa seolah-olah diri kita sendiri yang ditolak.
Bagaimana untuk keluar daripada belenggu ketakutan ini?
- Akui dahulu yang kita memang takut gagal.
- Ingatkan diri bahawa setiap kritikan membina sebenarnya membantu kita memperbaiki gaya penulisan.
- Lihat setiap kegagalan sebagai satu langkah yang mendekatkan kita kepada kejayaan.
Takut Ditolak
Semasa menulis, fikiran kita sering kali melayang:
“Ada ke orang yang nak baca tulisan aku ni?”
“Penerbit nanti terima ke manuskrip ini?”
Bagaimana kita boleh mengatasi rasa takut ditolak ini?
- Fahamkan bahawa kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pembaca.
- Anggaplah aktiviti menulis ini sebagai latihan untuk mengasah minda, bukannya penentu nilai diri.
- Jika ditolak, terima dengan hati terbuka. Kemudian, beranikan diri untuk bertanya kepada editor atau pengkritik, apa yang boleh ditambah baik pada tulisan kita.
Takut Risiko
Pekerjaan mana yang tiada risiko? Mungkin ada: duduk diam di zon selesa. Itupun ada risikonya—risiko poket kosong!
Kita sudah terbiasa melakukan perkara yang sama berulang kali. Apabila berdepan cabaran baru atau sedikit tekanan dari luar, kita mula rasa goyah dan tidak selamat.
Tanya diri kita.
Adakah kita mahu sekadar menjadi penulis di media sosial yang ‘syok sendiri’? Atau kita mahu memiliki buku sendiri yang dibaca oleh ratusan orang (kita mulakan dengan sasaran yang realistik)?
Bagaimana untuk menghadapi ketakutan mengambil risiko ini?
- Mengambil risiko sememangnya menuntut keyakinan. Tetapi, setiap kali kita berjaya melepasi satu cabaran, pengetahuan dan kemahiran kita akan turut berkembang.
- Tanya pada diri: Apakah kesan terburuk yang boleh berlaku jika saya mengambil risiko ini? Adakah ia akan mengancam nyawa? Jika tidak, mengapa tidak teruskan sahaja?
Kesimpulan
Menulis memang boleh jadi satu proses yang menakutkan. Namun, ia tidaklah segetir dirompak atau seteruk bertembung dengan harimau di dalam hutan.
Walau bagaimanapun, ada satu ketakutan yang baik untuk dimiliki oleh seorang penulis: takut menanggung dosa. Jalan keluarnya? Hasilkan tulisan yang mendorong pembaca ke arah kebaikan.
Dan setiap kali jemari mula menaip atau mencoret, pasakkan niat ini di dalam hati:
Semoga tulisan ini menjadi saham pahala yang berterusan mengalir, walaupun selepas kita tiada lagi di dunia ini.