Tiga Jalan Terbit Buku Selepas Manuskrip Siap
Ada penerbit yang sanggup terbitkan buku kita. Maka penerbit yang tanggung semua kos penerbitan dari kosong. Tetapi jika tiada yang mahu terbitkan buku kita bagaimana?
Manuskrip sudah siap ditulis? Tahniah! Tetapi, apa langkah seterusnya?
Kini tiba masanya untuk kita sebagai penulis memastikan naskhah tersebut berjaya diterbitkan sebagai sebuah buku.
Terdapat tiga laluan utama yang boleh kita pilih untuk menerbitkan manuskrip.
Penerbitan Buku Secara Tradisional
Melalui kaedah ini, penerbit akan menanggung sepenuhnya semua kos penerbitan setelah mereka bersetuju untuk menerbitkan karya kita.
Kelebihan utama penerbitan tradisional ialah kepakaran dan pengalaman penerbit dalam menilai kualiti kandungan serta strategi jualan buku. Selain itu, mereka mempunyai rangkaian pengedaran yang sudah sedia kukuh untuk meluaskan pasaran buku kita.
Walau bagaimanapun, proses penerbitan tradisional biasanya memakan masa yang agak lama. Persaingan antara penulis untuk merebut perhatian penerbit juga sangat sengit.
Penerbitan Mandiri (Swaterbit)
Secara ringkasnya, kita tulis sendiri, kita terbitkan sendiri. Kaedah ini juga dikenali sebagai self-publishing.
Kelebihan terbesarnya ialah kita mempunyai kawalan kreatif yang penuh ke atas penghasilan buku. Contohnya, rekaan kulit buku dan susun atur halaman boleh disesuaikan sepenuhnya mengikut citarasa kita.
Namun, kelemahannya ialah semua urusan pemasaran dan jualan perlu diusahakan sendiri oleh penulis.
Penerbitan Hibrid
Model penerbitan hibrid kini semakin mendapat tempat di Malaysia. Ia menggabungkan elemen daripada penerbitan tradisional dan mandiri.
Dalam model ini, penulis berkongsi risiko dan kos penerbitan bersama pihak penerbit.
Sebagai contoh, jika kos untuk menerbitkan sesebuah buku dianggarkan sebanyak RM12,000, ada penerbit yang menawarkan kerjasama usaha sama (joint venture) dengan penulis untuk menampung kos tersebut. Nisbah perkongsian kos ini boleh jadi 50%-50% atau 60%-40%, bergantung pada perjanjian.
Kelebihan utamanya ialah penulis masih mempunyai kawalan ke atas aspek kreatif buku, di samping dapat memanfaatkan rangkaian pengedaran yang dimiliki oleh penerbit.