· 2 MINIT BACAAN · Dikemaskini

Kesilapan Yang Menyebabkan Penerbit Kecil Rugi RM10,000

Sekiranya kita bincang bab cetak sahaja memang nampak mudah. Semakin banyak kita cetak, kosnya akan jadi lebih murah. Begitu juga sebaliknya.

Kesilapan Yang Menyebabkan Penerbit Kecil Rugi RM10,000

“Tuan, berapa sebenarnya kos untuk terbitkan sebuah buku?”

Ini soalan lazim yang saya terima. Sejurus soalan ini diajukan, saya nampak wajah para peserta mula bercahaya, masing-masing sudah membayangkan buku karya sendiri di tangan.

Saya ambil sedikit masa sebelum menjawab. Bukan kerana tiada jawapan, tetapi kerana jawapan yang salah boleh menjadi ‘racun’ yang membunuh semangat penulis di pertengahan jalan.

Mampu Cetak Vs Mampu Jual

Kos penerbitan sebuah buku sangat bergantung pada jumlah naskhah yang realistik untuk kita jual.

Memang benar, dari sudut percetakan semata-mata, logiknya mudah: lebih banyak kita cetak, lebih rendah kos per unit. Begitulah sebaliknya.

Lazimnya, tempahan di bawah 200 naskhah akan dikenakan kos yang lebih tinggi, kadangkala dianggap sebagai servis Cetakan Atas Permintaan (Print on Demand atau POD).

Sebagai gambaran, mencetak 2,000 naskhah mungkin meletakkan kos seunit sekitar RM3. Tetapi, jika kita hanya mencetak 100 naskhah, kosnya boleh melonjak sehingga RM7 seunit.

Namun, ramai yang terlepas pandang sudut yang lebih kritikal: kemampuan menjual. Inilah pendekatan yang lebih bijak.

Jadi, untuk menjawab soalan tadi, saya biasanya akan bertanya kembali, “Berapa naskhah yang tuan yakin boleh jual dalam masa enam bulan?”

Kenapa enam bulan? Ia adalah jangka masa yang selamat untuk memastikan modal kita tidak ‘terbeku’ terlalu lama dalam stok buku yang belum terjual.

Apabila kita berfikir dari sudut jualan, kita akan lebih berhati-hati dan tidak ghairah untuk mencetak dalam kuantiti yang besar. Biarlah bermula dengan sedikit, asalkan pusingan modal lebih sihat.

Komitmen Harian Bagi Menjual Buku

“Saya yakin boleh jual 2,000 naskhah!” jawab peserta itu dengan penuh semangat.

Mari kita pecahkan angka ini. 2,000 naskhah dalam tempoh 6 bulan bermakna kita perlu menjual kira-kira 333 naskhah setiap bulan.

Jika dibahagikan lagi kepada 30 hari, sasaran jualan harian kita adalah sekitar 11 naskhah.

Ini bermakna, setiap hari—termasuk Sabtu, Ahad, dan cuti umum—kita perlu pastikan sekurang-kurangnya 11 buah buku terjual. Tanpa gagal.

Jika kita benar-benar yakin mampu mencapai sasaran harian ini, barulah wajar untuk kita melangkah ke fasa seterusnya, iaitu mengira kos-kos penerbitan lain. Ini termasuklah kos untuk penyuntingan, reka letak (layout), rekaan kulit buku, pemasaran, dan banyak lagi.

// TOPIK