· 1 MINIT BACAAN · Dikemaskini

PBAKL bukan tempat menjual, ia tempat berjumpa

Hakikatnya, PBAKL bukan semata-mata tempat menjana jualan. Ia boleh jadi tempat tribe kita yang sudah membeli buku secara dalam talian akhirnya boleh berjumpa kita secara fizikal.

PBAKL bukan tempat menjual, ia tempat berjumpa

Setiap tahun, kita lihat penulis swaterbit gigih menjaga reruai mereka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dengan harapan yang menggunung. Ribuan ringgit dilaburkan untuk sewa tapak.

Dua ratus naskhah buku disusun kemas. Kita berharap agar separuh daripadanya akan terjual.

Hari pertama, debaran terasa kencang. Masuk hari ketiga, kita mula fikir untuk turunkan harga. Menjelang hari terakhir, kita pun pulang dengan kotak yang isinya masih lebih daripada separuh, dan baki akaun bank yang semakin menyusut.

Tetapi, mari kita renung sejenak. Daripada semua pembaca yang datang ke reruai kita, berapa ramaikah yang membeli kerana memang sudah kenal dengan kita dan karya kita?

Dan berapa ramaikah pula yang singgah hanya kerana tertarik dengan rekaan kulit buku, tetapi mungkin tidak akan membacanya pun selepas buku itu selamat sampai di rumah?

Hakikatnya, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bukanlah medan untuk mengejar jualan semata-mata.

Ia boleh menjadi sebuah pertemuan besar, di mana komuniti pembaca setia yang sudah pun membeli buku kita secara dalam talian akhirnya dapat bersua muka.

Mereka boleh datang membawa naskhah yang telah dibeli, meminta tandatangan, bergambar kenangan, dan pulang dengan satu lagi cerita manis.

Reruai kita bukanlah sebuah kedai. Ia adalah sebuah perayaan.

Penulis yang memahami konsep ini akan menjual buku mereka tiga bulan lebih awal sebelum PBAKL, sama ada melalui pra-pesanan, sesi FB Live, atau senarai e-mel.

Penulis yang gagal di PBAKL bukanlah kerana buku mereka tidak bagus. Mereka gagal kerana datang ke sana tanpa membina komuniti dan membawa pembaca bersama.