Framework Menulis Novel Berdasarkan Surah Yusuf
Dulu saya kerap menerima soalan ini, “Berdosakah kalau tulis novel tidak ikut teknik surah Yusuf?” Saya menulis entri ini atas kapasiti sebagai Penyusun buku…
“Berdosakah kalau tak ikut teknik Surah Yusuf masa tulis novel?”
Soalan ini sering diajukan kepada saya, selaku Penyusun buku ‘Panduan Menulis Novel: Teknik Surah Yusuf’.
(Jawatan ‘Penyusun’ itu bunyinya hebat, bukan? Hakikatnya, tugas saya tidaklah segah namanya.)
Sebenarnya, perbincangan tentang teknik Surah Yusuf ini sudah lama bermula. Jadi, sebelum buku ini diterbitkan lagi, pelbagai kritikan dan kecaman sudah pun timbul.
Terutamanya dalam kalangan penulis sastera dan juga para agamawan.
Malah, salah satu tujuan utama kami menyusun teknik ini langkah demi langkah sehingga menjadi sebuah buku adalah untuk menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh para pengkritik ketika itu.
Secara peribadi, saya lebih gemar menggelar ‘teknik’ ini sebagai sebuah ‘kerangka kerja’ atau framework.
Kerangka Kerja Melajukan Proses Menulis
Mengapa saya memilih istilah framework?
Begini analoginya: dahulu, untuk membina sebuah laman web, prosesnya mungkin mengambil masa yang sangat lama. Tetapi hari ini, rekaan laman web boleh dibangunkan dengan pantas hanya dengan menggunakan themes atau templat sedia ada.
Kemudian, timbul pula persoalan. Jika semua orang guna templat, apa yang akan membezakan laman web saya dengan orang lain? Di sinilah peranan pembangun web masih penting, iaitu untuk mengubah suai setiap templat itu agar unik dan menepati kehendak klien. Proses ini juga tetap memakan masa.
Kini, muncul pula apa yang kita panggil sebagai theme framework. Ia membolehkan pembangun web mereka bentuk templat mengikut kehendak klien dengan jauh lebih pantas!
Sebuah framework menjadikan kerja kita lebih efisien kerana kerangkanya sudah tersedia. Kita hanya perlu menambah baik dan melakukan ubah suai agar ia menjadi karya asli kita.
Sejak dari awal kami berguru, kami sering diingatkan bahawa banyak kemahiran boleh dicapai sekiranya kita tahu memilih kerangka kerja yang betul untuk melaksanakannya.
Puan Ainon pernah berkata, “Berfikir secara kreatif bukan satu bakat. Tetapi jika kita menggunakan kerangka berfikir yang tepat, semua orang boleh jadi kreatif.”
Jadi, untuk berfikir secara kreatif, kami menggunakan kerangka berfikir ‘6 Thinking Hats’.
Pada waktu itu, ketika buku-buku dalam bahasa Melayu masih belum banyak di pasaran, Puan Ainon berpendapat salah satu puncanya mungkin kerana penulis kita kekurangan teknik yang betul untuk mempercepat proses penulisan buku.
Bagaimana Menyiapkan Buku dengan Lebih Pantas
Ketika itu, masih ada penulis sastera yang berbangga dengan kenyataan seperti, “Novel ini saya ambil masa tiga tahun untuk siapkan!”
Ya, malah ada yang mengambil masa lebih lama daripada itu.
Hakikatnya, tempoh penulisan yang panjang tidak semestinya menjamin kualiti sesebuah karya atau sambutan pembaca.
Dari sinilah tercetusnya idea untuk merangka sebuah framework penulisan novel.
Bagaimana hendak membangunkan sebuah kerangka kerja dari sifar? Apakah asas yang perlu diguna pakai?
Maka, beliau memilih Surah Yusuf untuk diteliti bagaimana kisah di dalamnya dibangunkan.
Seindah-indah Kisah
“Kenapa Surah Yusuf? Kenapa tidak surah lain?”
Soalan ini rasanya tidak perlu dijawab panjang lebar. Sebenarnya ramai pengkaji yang melakukan analisis serupa, tetapi mereka menggunakan novel-novel laris (bestseller) sebagai rujukan. Malah, jika kita lihat hari ini, sudah wujud pun Kecerdasan Buatan (AI) yang mampu menghasilkan novel.
Jadi, Puan Ainon sebenarnya boleh sahaja memilih novel-novel popular pada ketika itu. Cuma, ia pasti akan mengundang persoalan lain seperti, “Betulkah novel ini laris sebab plotnya bagus?” atau “Penulis ini sudah terkenal, sebab itulah novelnya laku keras!”
Justeru, beliau memilih Surah Yusuf selepas membaca ayat ke-3:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah….”
Allah SWT sendiri telah mengiktirafnya sebagai ‘seindah-indah kisah’. Ini menjadikannya batu asas yang kukuh untuk dijadikan kajian.
Apabila diteliti, kisah Nabi Yusuf dalam surah ini ternyata menceritakan perjalanan hidup baginda yang lengkap, sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa.
Terkandung di dalamnya elemen-elemen seperti cubaan membunuh, hasad dengki, hakim yang rasuah, dan isteri yang curang.
“Bukankah sudah banyak novel yang menggunakan elemen sebegini? Tetapi kenapa ia tidak menarik untuk dibaca?”
Dari sini, timbul satu hipotesis baharu:
Apa yang membezakan plot-plot ini sedap dibaca adalah bagaimana plot itu ditulis dan diceritakan.
Bagaimana cara terbaik untuk menceritakan watak jahat, dan bagaimana pula untuk melukiskan babak cemburu dengan berkesan?
Adakah setiap perbuatan jahat menerima balasan dalam naratif?
Bagaimana pula hendak menggambarkan kejelitaan seorang wanita dan ketampanan seorang lelaki?
Apakah nisbah yang seimbang antara dialog dengan naratif?
Banyak lagi persoalan sebegini yang dikaji dan hasilnya disusun dalam bentuk langkah demi langkah supaya mudah diikuti.
“Adakah kerangka penulisan lain yang boleh dicontohi?”
Sudah tentu ada banyak.
Sebenarnya, sejak di bangku sekolah lagi, guru-guru kita sudah pun mengajar kerangka asas untuk menulis karangan dengan mudah.
Selain Surah Yusuf, ada juga kisah Nabi Musa yang setelah dikaji, didapati sesuai dijadikan kerangka untuk menulis kisah adiwira (superhero).
Sebuah kerangka kerja sepatutnya memudahkan tugas kita. Jika penulis mahu menambah perencah-perencah lain sewaktu menggunakan framework Surah Yusuf ini, ia amat dialu-alukan.
Pada pandangan saya, fungsi utama sesebuah kerangka kerja adalah untuk melancarkan dan mempercepat proses penulisan.