Cara Betul Membina Jadual Konten Post Media Sosial Bagi Penulis
Membina jadual post atau konten harian merupakan aktiviti utama sekiranya penulis mahu membina followers mereka di media sosial. Berikut adalah beberapa tips…
Membina jadual hantaran kandungan secara konsisten adalah salah satu kunci utama untuk membina pengikut (followers) di media sosial.
Berikut adalah beberapa tip untuk merangka jadual hantaran kandungan harian yang berkesan untuk media sosial anda.
Tentukan tujuan dan matlamat
Pernah tak kita rasa buntu dan hilang arah semasa hendak menyediakan kandungan untuk media sosial? Apabila ini berlaku, apa yang biasanya kita buat?
Jawapannya adalah dengan merujuk semula tujuan asal kita. Mengapa kita mahu aktif berkongsi di media sosial setiap hari? Apabila kita mula hilang fokus, kita perlu lihat kembali sejauh mana kemajuan yang telah dicapai dan berapa banyak lagi yang perlu diusahakan untuk mencapai sasaran.
Sebelum mula membuat jadual hantaran, sangat penting untuk kita tetapkan dahulu apa tujuan utama kita menggunakan media sosial. Adakah kita ingin mempromosikan buku atau artikel? Menambah jumlah pengikut? Atau membina sebuah komuniti pembaca yang aktif?
Dengan adanya tujuan dan matlamat yang jelas, kita dapat:
- Menentukan jenis kandungan yang sesuai untuk dikongsikan.
- Membina jadual hantaran media sosial yang lebih terancang.
Semasa menetapkan matlamat, adalah lebih baik jika kita letakkan satu nilai yang boleh diukur.
Sekiranya matlamat kita adalah untuk menaikkan jumlah pengikut, nyatakan jumlah semasa dan sasaran yang ingin dicapai dalam tempoh tertentu.
Contoh:
Jumlah pengikut TikTok sekarang ialah 1,000 orang. Saya mahu menaikkan jumlah pengikut TikTok kepada 10,000 dalam tempoh 3 bulan.
Dalam tempoh tersebut, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan berdisiplin. Jadi, sekiranya matlamat tidak tercapai, kita boleh kenal pasti apa yang perlu diubah atau ditambah baik.
Tentukan platform media sosial
Seterusnya, kita perlu memilih platform media sosial yang paling sesuai untuk mempromosikan karya kita. Setiap platform mempunyai audiens yang berbeza, dan audiens yang berbeza memerlukan jenis kandungan yang berbeza pula.
Sebagai contoh:
- Instagram lebih digemari audiens yang suka melihat kandungan visual seperti foto atau ilustrasi yang menarik.
- X (dahulunya Twitter) sesuai untuk perkongsian idea atau pemikiran dalam format teks yang pendek dan padat.
- TikTok pula lebih popular dalam kalangan audiens yang gemarkan kandungan video pendek, kreatif dan mengikut trend terkini.
Buat kalendar editorial
Setelah memilih platform, langkah seterusnya ialah membina sebuah kalendar editorial. Kalendar ini akan menggariskan jenis kandungan yang akan dihantar dan waktu siarannya.
Cuba hasilkan kandungan yang pelbagai dan menarik. Ini mungkin termasuk petikan daripada buku, tip penulisan, atau perkongsian artikel terbaharu yang kita tulis.
Gunakan alat pengurusan media sosial
Terdapat banyak alat pengurusan media sosial seperti Hootsuite, Buffer, atau Sprout Social yang boleh membantu kita menyusun jadual hantaran secara automatik.
Malah, jika kita fokus pada Instagram dan Facebook, Meta menyediakan platform percuma iaitu Meta Business Suite untuk kita menjadualkan kandungan.
Paparan dalam Meta Business Suite
Kita boleh luangkan masa sehari untuk siapkan lima hantaran kandungan, kemudian terus jadualkannya di dalam sistem. Dengan cara ini, kandungan tersebut akan disiarkan secara automatik di platform media sosial kita. Melalui alat-alat ini, kita boleh merancang kandungan untuk seminggu, malah sebulan lebih awal.
Pantau hasil secara berkala
Selepas memulakan jadual hantaran harian, jangan lupa untuk memantau dan menilai hasilnya secara berkala, contohnya setiap dua minggu atau sebulan sekali.
Lihat semula berapa peratus lagi yang tinggal untuk mencapai matlamat yang telah kita tetapkan pada mulanya. Analisis statistik media sosial boleh memberikan maklumat yang berguna untuk memperbaiki strategi kita serta membantu kita memahami kandungan mana yang berkesan dan yang mana kurang mendapat sambutan.
Dengan mengamalkan tip-tip di atas, para penulis boleh membina sebuah jadual hantaran harian yang efektif untuk mempromosikan karya mereka di media sosial.
