· 2 MINIT BACAAN · Dikemaskini

3 Cara Bina Kredibiliti Buku Bisnes

Buku bukan fiksyen, khususnya buku-buku bisnes mengundang banyak persoalan yang melibatkan kredibiliti penulis.

3 Cara Bina Kredibiliti Buku Bisnes
// DAFTAR ISI (3)
  1. 1: Sokong dengan Kajian dan Fakta
  2. 2: Dapatkan Pandangan daripada Pakar Industri
  3. 3: Gunakan Bahasa dan Gaya Penulisan yang Berwibawa

Buku bukan fiksyen, terutamanya dalam genre bisnes, sering kali didatangi satu persoalan besar: kredibiliti.

Bagi penulis baharu, soalan ini sering berlegar di fikiran:

“Layakkah saya menulis buku tentang bisnes, sedangkan saya bukan sesiapa?”

Kerisauan ini menjadi lebih ketara jika kita sendiri belum pernah terlibat secara langsung dalam bidang yang ingin dituliskan. Contohnya, mahu menulis buku tentang teknik pemasaran, tetapi tidak pernah mempunyai pengalaman memasarkan sebarang produk.

Sebenarnya, ini hanyalah isu persepsi.

Sebagai penulis, kita perlu mengubah tanggapan bahawa “buku ini adalah tentang saya sebagai penulis”. Ini adalah pandangan yang kurang tepat.

Sebuah buku ialah entiti tersendiri. Buku bukan fiksyen yang baik mampu meyakinkan pembaca berdasarkan isinya, tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada nama penulis atau jenama penerbit.

Terdapat tiga cara utama untuk membina kredibiliti buku agar ia gah dengan sendirinya.

1: Sokong dengan Kajian dan Fakta

Setiap hujah atau isi penting dalam buku kita wajar disandarkan pada sumber fakta yang sahih.

Fakta sukar untuk disangkal melainkan dengan fakta lain yang lebih kukuh. Ia adalah asas kepada kredibiliti.

Oleh itu, sebagai penulis, kita perlu mengumpul dan menyusun semua bahan rujukan dengan sistematik. Ini akan memudahkan proses semakan dan petikan sumber semasa menulis.

2: Dapatkan Pandangan daripada Pakar Industri

Selain data dan kajian, pandangan dan pengalaman daripada individu yang berkredibiliti dalam bidangnya juga amat bernilai.

Contohnya, petikan daripada seorang doktor yang disiarkan di akhbar, atau perkongsian seorang pakar melalui sesi temu bual yang kita kendalikan.

Pendekatan ini memberikan dua kelebihan serentak:

Pertama, isi kandungan buku kita menjadi lebih kukuh kerana disokong oleh pengalaman pakar.

Kedua, ia membuka peluang untuk kita membina jaringan profesional (networking) dengan penggiat industri.

Secara amnya, kebanyakan pakar dan penggiat industri berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka.

Jika ada yang kelihatan ‘kedekut’ atau enggan berkongsi, mungkin cara kita mendekati mereka kurang sesuai. Cuba perbaiki pendekatan dan dekati mereka semula dengan cara yang lebih profesional.

3: Gunakan Bahasa dan Gaya Penulisan yang Berwibawa

Ya, cara kita menulis juga memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi pembaca terhadap kredibiliti buku kita.

Gaya bahasa yang meyakinkan tidak semestinya kompleks. Apa yang lebih penting ialah menggunakan bahasa yang jelas, matang, dan menghormati pembaca.

Ini bermakna, gunakan ejaan penuh (bukan bahasa singkatan atau SMS) dan sapaan yang profesional (seperti Tuan/Puan), bukannya sapaan yang terlalu santai (seperti abang/kakak).

Ayat yang ringkas dan padat (short and concise) lebih mudah difahami dan menunjukkan penulis benar-benar menguasai subjeknya. Biasakan diri untuk menulis dengan ayat yang jelas dan tidak berbelit-belit.

Ketiga-tiga pendekatan ini akan membantu buku kita untuk “berdiri di atas kaki sendiri” dan memiliki kredibilitinya yang tersendiri.

Jelaslah, seorang penulis tidak semestinya memerlukan nama besar atau reputasi yang gah untuk menghasilkan sebuah buku yang berwibawa.

Ini kerana, pada akhirnya, pembaca mencari kandungan yang bermanfaat dan boleh dipercayai, bukan sekadar nama besar pada kulit buku.